|
Kulit terdiri daripada 3 lapisan utama iaitu: epidermis, dermis dan hipodermis. Epidermis adalah lapisan luar dan dapat dilihat. Semakin kita berumur, beberapa perubahan berlaku dibawah epidermis yang tak dapat dilihat. Misalnya, kulit kita akan menipis terutama dikawasan mengelilingi mata. Elastin dan kolagen terdapat di dalam dermis dan berfungsi memastikan kulit kita elastik dan lembap tetapi penuaan memecahkan serat ini untuk menghasilkan garis halus dan kedut. Pendedahan kepada sinar UV matahari mempercepatkan proses ini. Cara terbaik untuk menghalang garis halus dan kedut adalah menjauhi pendedahan kepada sinar UV matahari.
Kulit merupakan sistem tisu yang dinamik dan amat kompleks. Dalam satu inci persegi kulit terdapat 19 juta sel, 625 kelenjar peluh, 90 kelenjar minyak dan 4 meter salur darah. Lapisan paling luar epidermis dipanggil lapisan “cornified” dan terdiri daripada helaian keratin, protein dan sel kulit skuamos, sel mati dan leper. Ia merupakan pelindung terhadap dehidrasi dan persekitaran. Ia mendapat bekalan lembapan “moisture” daripada tisu di bawah kerana pendedahan kepada persekitaran akan mengeringkan permukaan kulit. Apabila terdedah kepada keadaan kering, lapisan cornified ini akan menjadi kering, rapuh, keras dan tanpa rawatan boleh pecah dan boleh dijangkiti kuman. Di bawah lapisan cornified terdapat enam lapisan epidermis yang berfungsi untuk menghasilkan sel baru. Kitar hidup sel kulit ini adalah sekitar 28 hari. Jadi kesan rawatan hanya akan kelihatan selepas 3-4 minggu. |
|
|
|
|